Tiga veteran IDF yang menjadi tebusan Hamas maut dalam serangan Israel.

TEL AVIV – Tiga veteran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang meminta supaya diselamatkan sebelum ini antara lima mayat yang dibawa keluar oleh tentera penceroboh dari Gaza.

Mayat Chaim Peri, 79, Yoram Metzger, 80, dan Amiram Cooper, 85 antara lima mayat yang didakwa ditemui dalam terowong yang digali oleh sayap bersenjata Hamas.

Briged Al-Qassam sebelum ini mengumumkan pihaknya telah terputus hubungan dengan kumpulan yang bertanggungjawab ke atas lima tebusan Israel tersebut dan bahawa tebusan mungkin telah terbunuh dalam serangan Israel.

“Pasukan Israel telah menemui rangkaian terowong di wilayah Jabalia, utara Semenanjung Gaza, dan mendapatkan mayat lima tebusan Israel yang terbunuh di sana,” kata jurucakap tentera, Daniel Hagari dalam satu kenyataan.

Tiga veteran IDF itu dipaparkan dalam video yang dikeluarkan oleh Briged Al-Qassam beberapa hari lalu.

Mereka menggesa kerajaan Israel supaya tidak meninggalkan mereka dalam tawanan Hamas dan menggesa supaya usaha dilakukan dengan segera untuk membebaskan mereka.

Dalam video itu, Peri, yang duduk di antara dua tawanan lain, berkata dalam bahasa Ibrani bahawa dia ditahan bersama tebusan warga emas lain yang menghidap penyakit kronik dan keadaan mereka teruk.

“Kami adalah generasi yang membina asas untuk penciptaan Israel. Kami adalah orang yang memulakan tentera IDF. Kami tidak faham mengapa kami ditinggalkan di sini,” katanya merujuk kepada angkatan tentera Israel.

“Kau kena lepaskan kami dari sini. Tidak kira berapa kosnya. Kami tidak mahu menjadi mangsa akibat langsung serangan udara tentera IDF. Lepaskan kami tanpa syarat,” tambahnya.

Video itu diakhiri dengan tiga lelaki berkata serentak: “Jangan biarkan kami menjadi tua di sini”. – Agensi