KUALA LUMPUR – Tidak timbul dakwaan kononnya wujud pertukaran Kerajaan Persekutuan pada Jumaat ini hanya kerana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bercuti pada hujung tahun ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Razlan Rafii berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana ia bersandarkan persepsi semata-mata.
“Ada beberapa pihak mengatakan kerajaan ini akan tumbang, akan beralih pada Jumaat ini, akan ada Perdana Menteri baharu angkat sumpah.
“Bagi saya mereka telah menjanjikan untuk menukar kerajaan ini sebenarnya lebih setahun.
“Setiap kali ada peristiwa Agong bercuti, kononnya Agong ada perubahan jadual, masuk Parlimen, semua ini hanya momokan untuk menukar kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, blogger kontroversi, Papagomo, atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan tumbang pada Jumaat ini.
Pertukaran kerajaan itu didakwa susulan perubahan jadual YDPA termasuk cuti dan sidang Dewan Rakyat yang dipercepatkan sebelum Seri Paduka tamat perkhidmatannya pada akhir Januari 2024.
Tambah Razlan, pentadbiran kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tergugat kerana kedudukan sokongan Ahli Parlimen stabil dan mencukupi.
“Apa yang kita pelik perkara itu tiada asas dan kita tahu ramai lagi Ahli Parlimen yang nak pindah kepada Kerajaan Perpaduan.
“Jadi apa yang dimomokkan ini semua adalah tidak benar yang rakyat hari ini merasakan kerajaan hari ini sudah stabil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kononnya Ahli Parlimen pembangkang sudah dibeli kerana mereka sudah terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
“Perkara yang dibangkitkan dalam media sosial mengatakan ada duit yang digunakan untuk membeli ahli-ahli Parlimen di dalam kerajaan.
“Pada pandangan saya, ia tidak logik sebab bukan senang kalau kita nak beli ahli Parlimen untuk berpindah sokongan sebab kita sudah ada Akta Anti Lompat Parti.
“Jangan nak perbodohkan ahli-ahli Parlimen sebab mereka semua tahu tanggungjawab mereka bekerja di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Razlan tidak menafikan naratif itu giat dimainkan hanya untuk mengalihkan isu pertuduhan rasuah dan salah laku kuasa yang dihadapi pemimpin pembangkang ketika ini.
“Ini mungkin disebabkan perkara-perkara rasuah yang sedang mereka hadapi, punca pendapatan dan kekayaan yang dihadapi Tun Daim Zainuddin dan kroni-kroni Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya melihat mereka ini terlalu terdesak untuk melakukan apa sahaja bagi menggugat kerajaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette