TEL AVIV – Seorang askar Israel dilaporkan mati selepas dijangkiti kulat misteri ketika menjalankan operasi darat di Gaza.
Tentera peneroboh itu dilaporkan meninggal dunia dua minggu lalu selepas dimasukkan ke hospital selama beberapa hari di Pusat Perubatan Assuta di Ashdod selepas dipindahkan dari Gaza.
Menurut media Israel, KAN News, askar berkenaan mengalami kecederaan parah di anggota badannya selepas dijangkiti kulat berbahaya tersebut.
Ujian yang dilakukan oleh hospital berkenaan mendedahkan tentera berkenaan dijangkiti dua kulat bahaya yang berbeza.
Laporan media itu menyebut, sepanjang serangan IDF ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 10 tentera telah didiagnosis dengan beberapa jangkitan kulat yang dialami semasa pertempuran.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga dikatakan sedang membuat kajian sama ada askar-askar berkenaan dijangkiti kulat selepas memasuki terowong yang digali oleh pasukan bersenjata Hamas, Al-Qassam.
Persatuan Penyakit Berjangkit Israel dilaporkan akan mengadakan perbincangan segera minggu depan dengan pakar epidemiologi dari IDF dan Kementerian Kesihatan.
Ini berikutan trend yang diperhatikan terhadap askar yang dijangkiti penyakit semasa melakukan serangan ke atas penduduk awam di Gaza.
Menurut laporan itu, perbincangan termasuk pemeriksaan sama ada jangkitan yang mengemparkan dan tidak diketahui oleh tentera Israel, berasal dari terowong pejuang Hamas.- Agensi