JOHOR BAHRU – Penduduk di sekitar bandar raya ini dilihat mula mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh Johor ketika ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di tempat awam dan beberapa pasar raya mendapati rata-rata mula memilih memakai semula pelitup muka dan hidung.
Seorang pekerja kedai serbaneka, Siti Nor Zubaidah, 25, mengenakan semula pelitup muka dan hidung berikutan pernah dijangkiti pandemik berkenaan beberapa tahun dahulu.
Langkah pencegahan awal itu, katanya, perlu untuk semua bagi memastikan kesihatan diri masing-masing tidak terjejas.
“Macam saya kerana ada sejarah pernah dijangkiti Covid-19 sebab itu saya pilih memakai pelitup ini semula. Sebab saya tidak sanggup nak tahan sakit jika dijangkit sekali lagi.
“Walaupun ada antara kita menganggap Covid-19 ini sudah biasa, kita tetap perlu berjaga-jaga juga demi kesihatan diri kita sendiri,” katanya.
Bagi peniaga, Nur Hidayah Manap, 38, beliau dan keluarga sememangnya memilih untuk terus menggunakan pelitup muka sejak dahulu lagi.
Jelas beliau,walaupun kerajaan ketika itu memberi pilihan kepada rakyat untuk tidak memakainya namun bagi dirinya lebih selesa dan terbiasa dengan penggunaan pelitup muka dan hidung itu.
“Saya memang pakai mask dari dahulu. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang ini saya memang pakai mask sentiasa sebab saya bimbang,” katanya.
Ibu kepada dua anak, Desi Widawati Herman, 29, pula berpandangan pelitup muka dan hidung perlu memandangkan beliau sentiasa berhadapan dengan orang ramai.
Katanya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan walaupun telah mengambil vaksin yang disarankan kerajaan.
“Sebab sekarang kes naik dan saya ada anak kecil, jadi suami pun cakap suruh pakai mask sebab saya ada anak kecil.
“Contoh macam sesetengah pelanggan ada yang batuk depan saya so saya takut benda itu terkesan pada saya lepas itu saya balik beri kesan pada anak saya sebab anak saya kecil lagi. Baru berusia enam bulan dan tiga tahun,” katanya.
Begitu juga dengan suri rumah, Kasstory Siva Subramaniam, 29, yang bimbang sejak mengetahui kes Covid-19 semakin meningkat.
Menurutnya, walaupun pelitup muka tidak menjaminkan 100 peratus daripada tidak dijangkiti Covid-19 namun sikap bertanggungjawab ke atas diri sendiri perlu diberi perhatian.
“Sekarang Covid-19 sudah naik. Selepas vaksin macam sudah turun tetapi sekarang sudah naik so risau sebab suami saya pun kerja di Singapura dan di sana pun kes naik,” katanya.
Bagaimanapun masih ada sesetengah individu yang memilih tidak menggunakan pelitup muka dan hidung ketika berada di tempat awam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: