BATU PAHAT – Niat buruk dua sekawan untuk mencuri buah kelapa sawit menggunakan kereta Perodua Myvi tidak kesampaian apabila mereka dihalang oleh seorang lelaki yang melihat kejadian itu di Linau di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu terpaksa menurunkan semula buah kelapa sawit yang dimuat naik dalam kereta berkenaan.
“Kejadian itu dirakam seorang lelaki dan video berdurasi 26 saat tular dalam laman sesawang Facebook milik akaun Batu Pahat Sana Sini.
“Dalam video berkenaan, suspek tersebut dilihat terpaksa memohon maaf kepada lelaki yang menghalang mereka selepas dikatakan mahu diadukan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Video berkenan juga turut menunjukkan saksi itu menasihati kedua-dua suspek supaya memulangkan semula buah kelapa sawit yang dicuri mereka atau mahu dilaporkan kepada pihak polis.
Selain itu, dalam video berkenaan juga turut menunjukkan saksi meminta maaf.
Jelas Ismail lagi, polis kini sedang berusaha untuk mengesan bagi menahan suspek yang kini masih bebas. – MalaysiaGazette