Brig. Gen. Sayeed Razi Mousavi.

TEHRAN – Iran memberi amaran kepada Israel akan membalas  pembunuhan seorang penasihat tentera Iran di Syria, Brig. Gen. Sayeed Razi Mousavi.

Al-Jazeera melaporkan, Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dalam ciapan di X berkata, Israel kini berhadapan dengan ‘kiraan detik yang sukar’.

Dalam tweet, Hossein mendakwa Mousavi “berjuang dengan berani selama bertahun-tahun… untuk memastikan keselamatan Iran dan rantau ini”.

Mousavi yang merupakan pegawai kanan Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh dalam serangan Israel di pinggir bandar ibu negara Syria, Damsyik pada Isnin.

Kejadian serangan berlaku di kejiranan Sayyeda Zeinab di Damsyik, kata laporan media.

Media Israel, The Times of Israel berkata, negara zionis itu percaya, Mousavi bertanggungjawab menyelaraskan pakatan ketenteraan antara Iran dan Syria.

Beliau dipercayai oleh Israel terlibat dalam usaha Tehran untuk membekalkan senjata kepada proksi di kawasan itu, termasuk kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan.

Pembunuhannya berlaku di tengah-tengah siri serangan ke atas pangkalan tentera AS dan kepentingan Israel di Iraq dan Syria dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang dikaitkan dengan kumpulan yang disokong Iran di Iraq.

Iran mengekalkan kehadiran tentera yang ketara di Syria yang sering mencetuskan ketegangan antara Tehran dan Washington kerana tentera Amerika juga ditempatkan di sana.

Peningkatan ketegangan berlaku ketika perang Israel di Semenanjung Gaza berterusan, meragut hampir 20,700 nyawa rakyat Palestin. – Agensi

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast