Datuk Mohamed Ilyas menyerahkan sumbangan mafla kepada Walid Abu Ali di Kedutaan Palestin, di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) hari ini mengumumkan bantuan tambahan kemanusiaan dengan menyediakan sumbangan selimut kepada rakyat Palestin.

Pengerusi Eksekutif KAPB, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed berkata, pihaknya akan menghantar empat kontena berisi selimut kepada rakyat Palestin yang kini sedang mengalami musim sejuk.

Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dan inisiatif Prihatin Palestin yang dilancarkan oleh Kumpulan KAPB pada 6 Disember lalu untuk memebantu Palestin.

“Bantuan selimut bagi kegunaan terutamanya kanak-kanak dan orang tua dijangka dihantar ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah di Mesir pada minggu ini.

“Bantuan musim sejuk ini bertujuan untuk meringankan keadaan sukar yang dihadapi oleh warga Palestin yang kini hidup dalam gelandangan dan menderita dengan cuaca sejuk.

“Ia akan disalurkan kepada penduduk Gaza dengan kerjasama Keduataan Palestin di Malaysia, di mana Duta Besar Palestin ke Malaysia akan menerimanya,” katanya ketika ditemui di Kedutaan Palestin di sini hari ini.

Mohamed Ilyas berkata, inisiatif Prihatin Palestin adalah misi kemanusiaan bagi mengenal pasti dan memenuhi keperluan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Katanya, melalui pelbagai inisiatif, kempen tersebut bertujuan untuk membina semula hospital dan masjid yang musnah dalam siri serangan buruk dilakukan oleh rejim zionis di Palestin.

Menurut beliau, nilai anggaran pembinaan semula hospital di Gaza selepas peperangan adalah kira-kira RM20 juta.

Beliau juga mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali untuk menyalurkan sumbangan sebanyak 2, 000 mafla bagi kegunaan pelajar di Gaza yang merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast