SIK – Aktiviti bergotong-royong seorang lelaki dengan sepupunya menebang pokok terap di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar di sini semalam berakhir dengan tragedi.
Ini kerana dia dilaporkan meninggal dunia akibat ditimpa dahan pokok tersebut.
Mangsa, Othman Kasim, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, berdasarkan keterangan pengadu yang juga sepupu mangsa, kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika mereka sedang bergotong-royong menebang pokok berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika mangsa dan sepupunya sedang menarik pokok terap untuk ditebang, tiba-tiba dahan pokok itu patah sebelum menimpa kepala mangsa.
“Penduduk berhampiran menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut susulan mangsa didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kejadian tersebut.
“Pegawai perubatan yang memeriksa mangsa di lokasi pukul 6.40 petang mengesahkan dia meninggal dunia,” katanya.
Menurut Abdull Razak, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat dihantar ke Hospital Sik untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mohd Rizal Mat Zainol mewakili Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menziarahi keluarga mangsa di Hospital Sik sejurus kejadian. – MalaysiaGazette