Penumpang pesawat sewa, yang ditahan di Perancis selama empat hari kerana disyaki pemerdagangan manusia, tiba di Mumbai, pada 26 Dis 2023. Foto: PTI

PARIS – Sebuah pesawat yang membawa ratusan warga India ditahan selama beberapa hari di sebuah lapangan terbang di Perancis kerana bimbang berlaku pemerdagangan manusia.

Pesawat Airbus A340 yang disewa, telah terbang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Nicaragua, menimbulkan syak semasa berhenti mengisi minyak.

Pentadbiran serantau berkata, 276 daripada 303 orang penumpang dalam perjalanan ke Mumbai dan 25 orang termasuk dua kanak-kanak bawah umur kekal di Perancis selepas memohon suaka.

Dua suspek penyeludup turut kekal di Perancis untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun kedua-duanya dibebaskan oleh mahkamah.

Penerbangan Legend Airlines mendarat di Mumbai pada awal Selasa waktu tempatan.

Gambar yang dikongsi oleh agensi berita ANI menunjukkan beberapa penumpang duduk di atas kerusi plastik di lapangan terbang Mumbai selepas penerbangan itu mendarat.

Pesawat itu pada mulanya telah dihalang daripada meninggalkan Lapangan Terbang Châlons-Vatry, pada Khamis lalu selepas pihak berkuasa menerima maklumat bahawa sesetengah penumpang mungkin “mangsa pemerdagangan manusia”, kata pendakwa raya Paris.

Kebanyakan mereka yang berada di atas kapal itu dipercayai warganegara India yang bekerja di UAE.

Satu pertiga daripada penumpang dilaporkan berasal dari negeri Gujerat.

Pihak berkuasa Perancis dilaporkan turut mengesyaki bahawa orang di atas kapal itu mungkin dalam perjalanan ke Nicaragua sebelum cuba memasuki Amerika Syarikat atau Kanada.

Tidak jelas sama ada pihak berkuasa telah menentukan secara pasti bahawa tiada jenayah telah dilakukan sebelum membenarkan pesawat itu beredar.

Ia juga tidak jelas mengapa penerbangan itu pergi ke Mumbai dan bukannya meneruskan perjalanannya ke Nicaragua. – Agensi