Poster perlancaran PADU pada 2 Januari 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan meluncurkan Pangkalan Data Utama (PADU) kerajaan pada 2 Januari depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, PADU merupakan satu pangkalan data sosio-ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan semua perangkaan dari jabatan dan agensi kerajaan.

Pangkalan data itu akan memberi gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

“Kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran iaitu mereka yang patut dapat tercicir, mereka yang tidak patut dapat menerima bantuan,” kata Rafizi dalam kenyataan.

Katanya, PADU menggabungkan data dari pelbagai agensi kerajaan untuk membina maklumat lengkap isi rumah iaitu ibu, bapa, anak, pendapatan setiap penghuni, tempat tinggal, jumlah tanggungan, jumlah anak bersekolah, kenderaan, harta, setiap bantuan yang diterima, bantuan kerajaan yang layak diterima dan sebagainya.

Tambah beliau, PADU akan menggunakan pendekatan pendapatan boleh belanja dan bukannya pendapatan kasar selepas mengambil kira tanggungan, jumlah isi rumah, kos sara hidup yang berbeza mengikut lokasi dan sebagainya.

Ini untuk memastikan penilaian yang lebih adil berbanding pendekatan pendapatan mengikut kumpulan B40, M40 dan T20.

PADU juga membolehkan semak silang data isi rumah untuk mengelakkan maklumat yang tidak tepat dalam permohonan bantuan kerajaan.

“Selepas diluncurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 ini, PADU akan dibuka kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengesahkan atau mengemaskini data isi rumah mereka selama tiga bulan.

“Saya akan terus memberi maklumat terperinci mengenai PADU dalam tempoh seminggu ini. Mohon semak berita-berita dan kandungan digital mengenai PADU di semua platform setiap hari untuk mendapat maklumat lanjut,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyertai acara peluncuran pada 2 Januari mereka boleh mendaftar di laman https://setahun.ekonomi.gov.my/.

Mereka yang tidak dapat menyertai boleh mengikuti acara melalui maya yang akan disiarkan di media sosial bermula jam 10 pagi.

Untuk memahami keberhasilan PADU dengan lebih mendalam, orang ramai boleh melayari https://www.ekonomi.gov.my/ms/padu. – MalaysiaGazette