KUALA LUMPUR – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memanggil semula 6,671 kenderaan yang dikeluarkan antara 2010 dan 2014.
Panggilan semula itu melibatkan model Golf GTI generasi keenam, Eos, Passat CC, Polo, Beetle dan Vento.
Model-model ini dikhuatiri mempunyai masalah generator gas beg udara di bahagian pemandu.
VPCM dalam kenyataannya berkata, kemerosotan fungsi generator beg udara disebabkan kelembapan udara yang tinggi dan turun naik suhu dalam jangka masa yang panjang berpotensi menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.
VPCM telah mengambil langkah-langkah yang perlu dengan rakan peniaganya untuk memastikan ketersediaan alat ganti dan penarikan balik dijalankan dengan lancar dan cekap.
Menurutnya, panggilan balik di seluruh negara akan dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk menguruskan bilangan kes.
Katanya, pemberitahuan kepada pemilik yang dikenal pasti telah dibuat berdasarkan pangkalan data Volkswagen akan dilakukan melalui e-mel dan WhatsApp.
Pelanggan yang membeli kenderaan daripada pemilik terdahulu atau pengedar kereta terpakai dinasihatkan untuk menghubungi pengedar sah Volkswagen terdekat untuk pengesahan dengan segera.
Kos penggantian alat ganti, buruh dan perkhidmatan adalah percuma. – MalaysiaGazette