Taburan mangsa banjir sumber NADMA.

KUALA LUMPUR – Seramai 25,849 mangsa banjir melibatkan 19 daerah di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Sabah direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri (JPM), jumlah mangsa meningkat kepada 498 mangsa dalam tempoh 24 jam berbanding 25,351 mangsa semalam.

Ia melibatkan 7,983 keluarga yang ditempatkan di 185 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang merekodkan pengurangan berbanding semalam sebanyak 241 buah.

Semalam dua kematian direkodkan akibat banjir yang melibatkan satu kanak-kanak lelaki di Kota Bharu, Kelantan dan satu kanak-kanak perempuan di Pasir Mas, Kelantan.

Tiga daerah yang paling teruk terjejas adalah Pasir Mas, Kelantan (13,844 mangsa), diikuti Hulu Terengganu, Terengganu (2,846 mangsa) dan Dungun, Terengganu (2,829 mangsa).

Tiga stesen meteorologi utama yang mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi semalam adalah Mersing, Johor (197.0mm), Kudat, Sabah (97.4 mm) dan Sandakan, Sabah (83.4 mm).

Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur dan selatan Semenanjung sehingga 28 Disember 2023.

Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan negeri Pahang dan Johor serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora berkuat kuasa sehingga 28 Disember 2023.

Sementara itu berdasarkan rekod kawasan hotspot dan cerun kritikal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat kawasan yang berisiko mengalami tanah runtuh di kawasan yang sedang dilanda banjir, iaitu di Jeli (Lebuhraya Timur – Barat), Tanah Merah dan Gua Musang (Jalan Lojing – Gua Musang).

Sehingga semalam terdapat sembilan kejadian tanah runtuh di seluruh Malaysia direkodkan, iaitu masing-masiang empat di Pahang dan Selangor serta satu di Sarawak.-MalaysiaGazette