KUANTAN – Empat kali bertukar tarikh penerbangan membuatkan sekumpulan 19 orang bakal jemaah umrah nekad membuat laporan polis kerana rasa terpedaya dengan sebuah syarikat pelancongan.
Menurut salah seorang mangsa, Norafi Mustafa, 55, pada mulanya, dia tertarik dengan tawaran salah satu daripada pakej yang bernilai RM5,990 yang juga menawarkan pulangan tunai daripada syarikat tersebut.
Justeru, dia yang pernah menggunakan perkhidmatan syarikat sama sebelum ini tanpa ragu-ragu mempelawa rakan-rakan dan saudara maranya untuk turut merebut peluang menerusi pakej itu.
“Sebelum ini, saya pernah buat umrah dengan syarikat yang sama dengan harga hampir RM8,000. Jadi, dengan pakej berharga RM5,990 ini, saya berjaya ajak 13 orang rakan-rakan dan saudara mara untuk membuat umrah bersama saya dengan tarikh yang berlainan,” katanya.
Namun Norafi yang sepatutnya mengerjakan umrah pada 1 November lalu tidak dapat berbuat demikian kerana tarikh penerbangan ditangguhkan oleh syarikat tersebut.
“Syarikat itu memberikan satu lagi tarikh baru iaitu 4 Disember yang kemudiannya ditangguhkan ke bulan Februari tahun depan.
“Kami juga dimaklumkan oleh pengurusan baharu bahawa kami akan terbang mengerjakan umrah pada 12 Februari ini menerusi mesyuarat Zoom,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, apabila ditanya siapa yang akan terbang bersama mereka nanti, syarikat itu memberitahu, jemaah umrah itu akan diterbangkan bersama sebuah lagi jemaah syarikat umrah lain.
Curiga dengan jawapan yang diberikan, Norafi cuba menghubungi syarikat lain yang dimaksudkan itu namun dimaklumkan urusan perbincangan lanjut di antara kedua syarikat tidak pernah berlaku.
Lebih mengecewakan, katanya, pihak syarikat pelancongan terbabit hanya memberikan alasan terdapat konflik dalaman yang menjadi punca penangguhan tarikh penerbangan mereka.
Bagi seorang lagi mangsa, Kamarudin Yahaya, 65, terkilan kerana tidak dapat merealisasikan impian membawa empat ahli keluarga untuk mengerjakan umrah.
“Saya satu keluarga lima orang rugi hampir RM30,000 juga. Kita bukan orang senang, duit boleh kutip macam daun pisang. Kita simpan sikit-sikit untuk tujuan mengerjakan umrah.
“Kita nak pergi beribadah ini, sanggup juga orang sebangsa seagama kita buat macam ini dengan kita,” katanya kecewa.
Menerusi laporan polis yang dibuat hari ini, kesemua 19 bakal jemaah umrah itu berharap agar kejadian sama tidak berlaku kepada individu lain.
Selain itu, mereka turut mengharapkan agar isu berkaitan penipuan pakej umrah yang sering berlaku ini mendapat perhatian pihak berwajib termasuk pihak kementerian yang berkaitan agar dapat mencari jalan penyelesaian kepada masalah terbabit. – MalaysiaGazette