Mayat syuhada yang ditanah dalam perkuburan besar di Gaza.

TEL AVIV – Rejim zionis dilaporkan telah memulangkan 80 jenazah rakyat Palestin yang dilarikan daripada hospital di Gaza sebelum ini.

Menurut Agensi Anadolu, pemulangan jenazah itu dilakukan selepas Israel selesai melakukan ‘siasatan’ terhadapnya.

Ketua Hospital Mohammed Yousef El-Najar di Rafah berkata, keadaan jenazah yang dipulangkan dalam keadaan yang berbeza-beza.

Kementerian Kesihatan di Gaza menerima jenazah melalui lintasan sempadan Kerem Shalom di selatan Semenanjung Gaza yang dihantar menggunakan sebuah lori kontena.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama bagaimanapun bertanggungjawab terhadap pengebumian di kubur besar, kata wartawan itu.

”PBB telah memaklumkan kepada kami lebih awal tentang ketibaan sejumlah syuhada ke Semenanjung Gaza, dianggarkan kira-kira 80 jenazah,” Marwan Al-Hams, pengarah Hospital Mohammed Yousef El-Najar di bandar Rafah memberitahu Anadolu.

“Jenazah tiba di dalam bekas, ada yang utuh manakala yang lain berkeping-keping dan sebahagian lagi telah reput,’’ tambahnya.

Al-Hams menyatakan jenazah itu akan “dipindahkan ke tanah perkuburan untuk dikebumikan” dan jenayah itu akan didokumentasikan ” melalui Kementerian Kesihatan dan Keadilan”.

Pihak berkuasa di Gaza telah menggali kubur besar untuk pengebumian, sumber melaporkan kepada Anadolu.

Media sebelum ini melaporkan, askar Israel telah melarikan beratus jenazah dalam hospital yang ditawan di Gaza untuk disiasat.- Agensi