Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham agar pakar bukan Islam dilantik untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam disifatkan tidak realistik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, saranan pemimpin DAP itu boleh mencetuskan polemik dalam negara.

“Tidak perlu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan Yang Berhomat Ngeh Koo Ham ini tidak berpijak di bumi yang nyata malah hanya bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini,” kata Asyraf Wajdi dalam kenyataan

Menurutnya, sejak merdeka Mahkamah Syariah adalah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam.

Tegasnya, sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

Ia juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau berkata, kepercayaan dan keyakinan perlu diberikan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa tersebut.

“Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan Jawatankuasa ini.

“Apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan,” katanya.

Jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan akan Ahli Parlimen bukan Islam yang mempunyai kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, beliau telah meminta penjelasan daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim mengenai cadangan Koo Ham.

Kedua-dua pemimpin DAP itu menyatakan bahawa kenyataan Koo Ham tidak mewakili pendirian DAP.

Dalam mengutarakan cadangan itu, Koo Ham menjelaskan, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. cakap terus terang je…kau bukan Islam jgn sibuk dalam hal Islam sepertimana kami Islam tak sibuk hal agama kamu…tu le dia kaduk naik junjung…diberi betis nak paha

Comments are closed.