Mohd Redzuan kongsi gambar terakhir Cik Kiah sebelum bahagian perutnya dibuang.

BALIK PULAU – Ular sawa betina popular dengan jolokan nama Cik Kiah yang dibela Mohd Redzuan Abdullah Zawawi dilaporkan mati semalam.

Kematian ular sawa daripada keluarga ‘Malayopython reticulatus atau reculated python (ular sawa batik saiz seakan anakonda) dengan berat lebih 220 kilogram itu dimaklumkan Mohd Redzuan dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Menurut Mohd Redzuan, dia hanya menyedari Cik Kiah sudah tidak bernyawa ketika mahu melakukan pemeriksaan rutin kira-kira jam 10 pagi.

“Memang sejak dua tiga hari lalu, badan Cik Kiah seperti tidak sihat sehingga pagi semalam saya pegang Cik Kiah dan mendapati ia sudah tidak bergerak manakala perutnya seakan kembung.

Kejinakan Cik Kiah membuatkan Mohd Redzuan mampu membawa ia mandi di sungai di Balik Pulau. FOTO : Ihsan Mohd Redzuan.

“Pemeriksaan bahagian perut mendapati tiada tanda ular peliharaan saya itu mengalami keracunan dan bermungkinan ia mati kerana faktor usia tambahan pula saya sudah peliharaannya lebih 20 tahun.

“Tak sangka penghujung tahun ini perlu berdepan situasi kehilangan Cik Kiah yang dianggap sebahagian daripada keluarga namun saya reda apabila hayatnya berakhir pada usia berkenaan,” katanya.

Cik Kiah antara sembilan ular sawa pelbagai genetik yang dipelihara Mohd Redzuan dan dipercayai paling besar di Asia dengan panjang sehingga hampir tujuh meter (21 kaki).

Mohd Redzuan kongsi gambar terakhir Cik Kiah sebelum bahagian perutnya dibuang.

Tambah Mohd Redzuan, dia telah maklumkan kematian Cik Kiah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan mereka dijangka ambil ular sawa itu dalam tempoh 14 hari untuk diawet bagi disimpan.

Terdahulu, Mohd Redzuan turut berkongsi di laman sosial Facebook, ‘Mohicanz Exotic’ yang memaparkan cara pengurusan Cik Kiah bagi disimpan dalam peti sejuk sebelum diserah kepada Perhilitan.

Media sebelum ini melaporkan kisah Cik Kiah selepas pemiliknya didakwa berjaya menjinakkan haiwan tersebut meskipun saiznya seakan-akan anakonda. – MalaysiaGazette