SERI KEMBANGAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mempertimbangkan pelaksanaan setiap projek baharu agar menepati dan mematuhi empat kriteria utama yang ditetapkan bermula tahun 2024.
Menterinya Nga Kor Ming berkata, setiap projek yang dilaksanakan adalah Performance Based Badjet bagi memastikan setiap setiap sen dana awam yang dibelanjakan untuk projek yang diluluskan kerajaan madani menepati sasaran dan mensejahterakan rakyat.
“Mulai tahun depan (2024) kita akan mempertimbangkan setiap projek baharu berdasarkan empat kriteria utama iaitu Pulangan Pelaburan (Return of Investment), Analisis Kos Faedah, Indeks Kredibiliti dan Reliabiliti dan akhirnya Kajian Kebolehlaksanaan yang saya tekankan ini.
“Empat kriteria utama ini akan digunakan oleh KPKT dan semua projek perlu menepati oleh setiap projek yang hendak dilaksanakan mulai tahun depan untuk memastikan kersejahteraan rakyat dapat dipertingkat secara mampan selari hasrat kerajaan Madani,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPKT telah mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan sebanyak 5196 projek pembangunan kepada rakyat sepanjang tahun 2023 ini.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga berkata, ia merupakan satu rekod bersejarah yang dicipta oleh KPKT sejak mencapai kemerdekaan.
“Kejayaan itu dicapai dengan komitmen semua pihak dengan satu matlamat jelas iaitu meningkatkan taraf hidup dan menjayakan peluang ekonomi masyarakat setempat melalui pembangunan fizikal dan sosioekonomi menggunakan peruntukan berjumlah RM700 juta.
“Daripada jumlah tersebut, menerusi inisiatif Belanjawan 2023, Kerajaan Madani juga telah menetapkan dan meluluskan sejumlah RM191 juta bagi pelaksanaan MyKiosk, projek perparitan dan projek kolam takungan banjir.
“Pada masa yang sama, KPKT turut mengadakan pelbagai aktiviti turun padang menerusi “Program Sentuhan Kasih KPKT” ke semua negeri bagi meneliti sendiri dan menyantuni permasalahan rakyat dan PBT secara lebih dekat dan terbuka.
“Hasilnya, peruntukan sebanyak RM72.7 juta telah diluluskan meliputi 87 projek yang memberi impak segera bagi menyelesaikan masalah rakyat kawasan tersebut,” ujarnya sambil menambah pihaknya akan terus komited fokus pembangunan mampan demi menjamin kesejahteraan rakyat,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette.