Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad melalui peguamnya telah menyerahkan surat tuntutan kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN), Badrul Hisham Shaharin semalam.

Menurut beliau, tindakan itu diambil berikutan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah oleh Badrul Hisham baru-baru ini.

Nik Nazmi berkata, surat tersebut meminta Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard menarik balik dengan serta-merta serta memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah itu.

“Beratnya tuduhan palsu ini memerlukan tindakan undang-undang yang tegas untuk menjaga nama baik dan kewibawaan saya, kementerian dan Kerajaan Persekutuan.

“Komitmen kami kekal dalam menegakkan kebenaran dan membetulkan tanggapan serong ekoran tuduhan tidak berasas seperti ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 20 Disember lalu, Badrul Hisham menggesa polis menyiasat dakwaan berlaku rasuah dalam rancangan tebatan banjir bernilai lebih RM16 bilion.

Nik Nazmi menambah, prosiding undang-undang tersebut mengesahkan dedikasi pihaknya terhadap ketelusan dan pematuhan proses undang-undang.

“Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak polis untuk bertindak ke atas dakwaan yang dibuat oleh Chegu Bard,” jelasnya. – MalaysiaGazette