pegawai kastam
Abdul Malik Mohamed Zin (tengah), Othman Mohamad Suhaili (kiri) dan Ibrahim Bali (kanan) menunjukkan salinan surat arahan pertukaran pada sidang media di Pejabat KPKSM, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) berharap pengurusan tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membatalkan arahan pertukaran yang dikeluarkan baru-baru ini.

Rayuan yang sama turut dibuat oleh Kesatuan Sekerja Kastam Sabah (Keskes) dan Kesatuan Sekerja Kastam Sarawak dalam sidang media di Pejabat KPKSM, di sini, hari ini.

Presiden KPKSM, Abdul Malik Mohamed Zin berkata, arahan tersebut menyebabkan pegawai-pegawai terbabit berdepan kesulitan daripada segi peningkatan kos sara hidup serta berjauhan dengan keluarga.

“Pegawai ditukarkan ke tempat yang tiada kemudahan kuarters atau kuarters telah penuh.

“Mereka terpaksa menyewa rumah yang akan menelan kos antara RM700 hingga RM1,200 sebulan selain perlu menjelaskan bayaran pinjaman perumahan,” katanya.

Turut hadir, Presiden Keskes, Othman Mohamad Suhaili dan Presiden Kesatuan Sekerja Kastam Sarawak, Ibrahim Bali.

Mohamed Zin menambah, pegawai-pegawai terbabit terpaksa hidup berasingan dengan pasangan dan keluarga terutamanya yang bekerja di sektor swasta.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan mereka sukar fokus terhadap pekerjaan ekoran memikirkan keselamatan keluarga yang jauh lebih-lebih jika berlaku kecemasan.

“Ada pegawai yang ditukarkan sedang menjaga ibu bapa yang uzur, sakit kronik dan lanjut usia,” jelasnya.

Secara peribadi, Abdul Malik yang bertugas di Ipoh berpandangan, arahan pertukarannya ke Lawas, Sarawak akan menyukarkannya untuk menjalani pemeriksaan berkala di Institut Jantung Negara (IJN).

Sehubungan itu, beliau merayu agar pengurusan tertinggi JKDM mempertimbangkan semula arahan pertukaran tersebut kecuali yang melibatkan pegawai-pegawai yang membuat permohonan.

“Kami memberi jaminan tidak akan melancarkan mogok bagi membantah arahan ini kerana tindakan itu boleh menjejaskan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette