KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Orang Asli meninggal dunia setelah lemas semasa mandi bersama kawan di Tasik Biru, Kundang, dekat sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.32 petang mengenai insiden itu.
Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang serta Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) telah bergegas ke lokasi kejadian tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat seorang lelaki sedang mandi bersama rakan didapati tidak timbul.
“Operasi mencari mangsa telah dipergiatkan oleh pasukan PPDA di tasik tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, setelah lebih dua jam pencarian dilaksanakan, mangsa ditemui oleh pasukan PPDA pada jarak 10 meter dari tempat asal dilaporkan hilang kira-kira jam 6.10 petang.
“Mangsa telah ditemui pada kedalaman 4 meter sebelum mayat dibawa naik ke darat oleh pasukan PPDA sebelum disahkan meninggal dunia.
“Identiti mangsa dikenalpasti sebagai Azman Jus berumur 34 tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette