kastam
Anis Rizana Mohd Zainudin (Gambar: Facebook JKDM)

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan, kesemua pertukaran yang dilaksanakan ketika ini melibatkan pegawai-pegawainya yang telah berkhidmat melebihi tujuh tahun di lokaliti yang sama.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, langkah itu adalah selaras dengan dasar pelaksanaan penempatan dan pertukaran kerajaan yang membolehkan jabatan menukar pegawai yang telah berkhidmat antara tiga hingga lima tahun bagi jawatan sensitif.

Bagi jawatan bukan sensitif pula, katanya, pertukaran boleh dilakukan bagi pegawai yang telah berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun.

“Seseorang pegawai boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Pengarah Kastam atau atas permohonan pegawai sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Pengarah Kastam berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan yang dinyatakan tersebut.

“JKDM juga memberi ruang bagi penangguhan pertukaran penempatan sementara mengikut permohonan dan sehingga kini beberapa pertukaran telah ditangguhkan atas sebab-sebab keluarga, kesihatan dan persekolahan anak-anak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) berharap pengurusan tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membatalkan arahan pertukaran yang dikeluarkan baru-baru ini.

Rayuan yang sama turut dibuat oleh Kesatuan Sekerja Kastam Sabah (Keskes) dan Kesatuan Sekerja Kastam Sarawak dalam sidang media di Pejabat KPKSM, di sini, hari ini.

Presiden KPKSM, Abdul Malik Mohamed Zin berkata, arahan tersebut menyebabkan pegawai-pegawai terbabit berdepan kesulitan dari segi peningkatan kos sara hidup serta berjauhan dengan keluarga.

Anis Rizana menambah, arahan penempatan dan pertukaran pegawai adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh JKDM iaitu Perintah Tetap Perjawatan Bil.78 – Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023.

Beliau memberitahu, arahan itu juga selaras dengan kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan-urusan lain berkaitan pelantikan di bawah Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

“Selain itu, tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019–2023 (Semakan Semula Separuh Penggal) di bawah Objektif Strategik 2.1: Merekayasa Perkhidmatan Awam ke arah tadbir urus baik melibatkan insiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Kesatuan pegawai kastam rayu batal arahan pertukaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah lebih 5 tahun tak nak berpindah sebab dah selesa laa tu…Ni yg akan menyebabkan berlakunya rasuah ni

Comments are closed.