kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Strategi yang lebih ampuh termasuk penyiasatan berkualiti diperlukan untuk menangani isu kartel dan rasuah di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu kartel melibatkan aspek yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam dari pelbagai perspektif.

Menurut beliau, penubuhan pasukan pakar forensik yang melibatkan pelbagai agensi pasti dapat mengesan dan dan memberikan impak besar dengan tindakan perundangan yang lebih tegas.

“Pasukan forensik itu juga perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan dan tindakan yang tegas dapat dilakukan segera.

“Perlindungan kepada pemberi maklumat atau whistleblower perlu diperkemaskan. Jaminan keselamatan kepada mereka akan merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan aktiviti mencurigakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jais mengulas mengenai laporan Astro Awani semalam bahawa lebih 500 syarikat kini berada dalam ‘radar’ Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana dipercayai membentuk ‘kartel’ untuk membida tender projek kerajaan.

Malah, ada pemililik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri, yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.

Beliau mengingatkan bahawa usaha membanteras kartel dan rasuah adalah tanggungjawab bersama di mana penglibatan awam dan program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti dapat membina tekanan yang positif untuk mencapai ketelusan serta kebertanggungjawaban yang diinginkan.

Jais menambah, kes-kes yang berulang kali dilaporkan mengenai kartel memanipulasi tender kerajaan adalah amat mengecewakan terutamanya ketika ramai rakyat sedang berdepan dengan kegawatan ekonomi yang serius.

“Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast