KUALA LUMPUR – UMNO sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pemuda Pas dalam menjayakan misi bantuan banjir bagi membantu mangsa-mangsa yang dilanda air bah di Pantai Timur.

Ketua Pergerakan Pemudanya, Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama itu yang sememangnya merentasi fahaman politik.

“Misi bantuan ini bukan soal parti, ini bukan soal bangsa, soal agama, ia soal kemanusian.

“Bila soal kemanusiaan ia tidak mengira parti, kita tak bercakap nak bantu orang parti sahaja, kita bantu semua. Kita mengalukan kerjasama kalau pemuda Pas, Amanah atau mana-mana parti nak kerjasama kita sedia.

“Kita sediakan bot juga, kita tawarkan juga kepada pemuda Pas kalau nak guna bot kami, kerjasama ini bukan soal politik, politik masa pilihanraya, pilihanraya sudah berakhir, soalnya bagaimana kita nak bantu rakyat dibawah yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelepasan Misi Bantuan Banjir Permuda UMNO ke Kelantan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Dr Akmal, sebanyak RM40,000 diperuntukkan bagi untuk pusingan pertama bantuan ke Kelantan yang merangkumi pelbagai jenis bantuan termasuk makanan peralatan dan sebagainya. – MalaysiaGazette