Logo Tenaga Nasional Berhad

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 15 kawasan di daerah Pasir Mas, Kelantan masih bergelap selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik akibat banjir.

Menerusi Facebook TNB memaklumkan, terdapat beberapa kawasan yang sudah disambung semula bekalan elektrik susulan air kembali surut.

“Kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik susulan penutupan bekalan oleh TNB termasuk Sekolah Menengah Ugama Al Falah, Balai Polis Jeram Perdah, Bongor, Bukit Lata dan Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh,” katanya.

Selain itu TNB berkata, kawasan lain yang turut belum disambung bekalan elektrik membabitkan kawasan Terusan, Kebakat, Kusar, Prima Lubok Jong, Taman Desa Wira serta Putat.

Katanya, usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan berkenaan dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat. – MalaysiaGazette