Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah, majlis tersebut memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Titah baginda, MKI juga dianggotai olen pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Sehubungan itu, baginda mengharapkan agar ahli-ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

“Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia,” titah baginda melalui kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Semalam, FMT melaporkan, Koo Ham ketika membuat cadangan itu turut menyarankan agar kerajaan melibatkan Badan Peguam dalam jawatankuasa berkenaan, memandangkan badan berkanun itu dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.

Jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan awal bulan ini bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda turut berkenan memetik ayat 6 Surah al-Kafirun yang mana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Baginda turut mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini yang menegaskan bahawa cadangan Koo Ham itu merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ngeh Koo Ham kena sedar diri Dan sebagai warganegara dia kena tahu batas2 dalam mengeluarkan kenyataan.

Comments are closed.