Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti lebih 10 kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara bagi membanteras isu kebanjiran warga asing.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay tidak bersedia untuk mendedahkan lokasi-lokasi tersebut bagi mengelak sebarang kebocoran maklumat sebelum operasi berlaku.

Katanya, lokasi yang dikenal pasti bukan sekadar tertumpu di Lembah Klang tetapi turut membabitkan beberapa negeri lain termasuk Johor, Kedah dan Kelantan.

“Banyak operasi sebelum ini yang kita buat melibatkan penempatan PATI,  kebocoran maklumat berlaku. Bila datang, tempat yang hendak diserbu sudah kosong.

“Kita sudah kenal pasti sasaran lokasi, saya akan kongsi dengan media pada penghujung dan saat-saat terakhir sebelum operasi kita akan kongsikan..takut ada kebocoran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur ditemani Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan juga menambah, PDRM akan terus melancarkan operasi bersepadu dari masa ke semasa secara konsisten selepas ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa kekangan yang terpaksa dihadapi polis dari segi penempatan tahanan di depot Imigresen.

“Mungkin ada kekangan di situ namun kita akan terus merancang dengan teliti untuk operasi akan datang selepas ini

“Kalau kita tengok operasi lepas di Jalan Silang,  siasatan tertumpu khusus kepada perniagaan yang dikuasai warga asing..itu target kita.

“Walaupun  seramai 1,101 PATI kita tahan di sana pada 21 Disember lalu dan buat semakan dokumen, tetapi lebih 600 kita sudah ambil tindakan berlunaskan undang-undang,” ujarnya lagi.

Pada 21 Disember lalu, polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi bersepadu menggempur kawasan sekitar Kota Raya di Pudi yang dikenali mini Dhaka di Jalan Silang di sini bagi membanteras isu kebanjiran warga asing di ibu negara.

Operasi yang disertai lebih 1,000 pegawai dan anggota PGA itu menyerbu sebanyak 60 premis perniagaan dipercayai dimiliki serta menggaji warga asing.

Operasi bermula 11 pagi itu disertai oleh seramai 1,138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) melibatkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9). -MalaysiaGazette