KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Kosas, Ampang Jaya, dekat sini, pada 19 Disember lalu diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kira-kira jam 10 pagi pada hari kejadian, pengadu yang merupakan seorang pesara meninggalkan kediamannya untuk ke klinik pergigian di Bandar Baru Ampang namun apabila pulang kira-kira jam jam 3.30 petang beliau mendapati pagar utama rumahnya terbuka.

“Pengadu masuk ke dalam kawasan rumah dapati gerigi besi pintu sliding terdapat kesan umpil pada tempat telinga kunci.

“Kemudian pengadu buat pemeriksaan didalam rumah mendapati wang simpanan yang disimpan didalam beg tangan warna gelap telah tiada dan disyaki telah dicuri dan kerugian dianggarkan lebih kurang RM 1,000,” katanya dalam kenyataan, ini.

Menurut Mohd Azam, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa pihaknya melakukan serbuan di Jalan Prima Setapak, Wangsa Maju semalam yang membawa kepada penahanan seorang lelaki.

Tambah beliau, penahanan lelaki itu membawa kepada rampasan telefon bimbit, wang tunai ringgit Malaysia, mata wang asing dan pelbagai barangan kemas yang disyaki dicuri hasil dari perbuatan pecah rumah.

“Hasil siasatan awal pihak polis dapati suspek melakukan perbuatan pecah rumah bersama rakan sejenayah yang ditahan polis sebelum ini.

“Kedua suspek menggunakan modus operandi menyasarkan rumah tidak berpenghuni dan akan pecah masuk melalui pintu hadapan,” ujarnya.

Mohd Azam berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah dalam daerah Ampang Jaya.

Katanya, hasil ujian air kencing ke atas suspek adalah positif dadah dan semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod masih dikehendaki kes pecah rumah dan 31 rekod lampau tidak dikehendaki kesalahan jenayah dan narkotik.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Mohd Azam berkata, suspek disiasat di bawah  Seksyen 457 Kanun keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah bagi tujuan mencuri.

Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast