Seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas kepalanya tersepit pada pintu lif dalam kejadian pada Selasa lalu di sebuah pusat beli belah di Jalan Burma, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Majikan kepada lelaki yang maut akibat tersepit kepala di pintu lif ketika melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah pusat beli belah di Jalan Burma di sini pada Selasa lalu, berdepan tindakan sekiranya didapati melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian sebaik menerima makluman berhubung kemalangan tersebut.

Jelas beliau, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja penyelenggaraan lif yang terlibat dengan kemalangan tersebut juga telah dikeluarkan dan ia berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Siasatan yang dijalankankan menjurus kepada Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan.

“Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi yang dikenal pasti selain melakukan pemeriksaan lanjut ke atas sistem lif tersebut.

“Malah, kita juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikkan sebelum membentangkan kes kepada JKKP negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Hairozie berkata, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja selain perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor.

“JKKP sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Pekerja penyelenggara maut tersepit ketika baiki lif

Media pada Selasa lalu melaporkan seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas kepalanya tersepit pada pintu lif dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Jalan Burma di sini.

Mangsa, R. Tinesh Kumar, 28, dikatakan mahu memeriksa lif di lokasi tersebut yang mengalami kerosakan selepas ia tiba-tiba berhenti di antara tingkat satu dengan aras lantai.

Mangsa dikatakan mahu membaiki lif tersebut susulan terdapat seorang penumpang lelaki berusia 53 tahun terperangkap di dalam. – MalaysiaGazette