Puad Zarkashi Facebook Syed Saddiq mahkamah
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membantah cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar Badan Peguam dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau menyifatkan badan tersebut sebagai berat sebelah dan suka memihak.

Mohd Puad berkata, Badan Peguam mahu mencabar keputusan pengguguran kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi tidak pula mencabar kes lain yang digugurkan walaupun ada prima facie.

“Seolah-olah pendirian badan itu ialah asalkan bukan UMNO.

“Badan peguam itu kekal senyap isu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) Tan Sri Tommy Thomas walaupun memoir beliau banyak kontroversi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, FMT melaporkan, Koo Ham menyarankan kerajaan melibatkan Badan Peguam dalam jawatankuasa berkenaan, memandangkan badan berkanun itu dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.

Jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan awal bulan ini bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, Mohd Puad berpandangan, kerajaan boleh mempertimbangkan pelantikan seorang pakar perundangan bukan Islam yang berkecuali dalam jawatankuasa tersebut.

“Asalkan bukan Badan Peguam,” jelasnya. – MalaysiaGazette