Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menunjukkan kad TnG NFC yang akan di berikan secara percuma kepada 3000 orang yang terawal mendaftar dalam Pengkalan Data pada sidang media mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) di Menara Prisma, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Individu yang tidak mengemaskini maklumat dalam Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 November depan tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Bagaimanapun Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, mereka mungkin berisiko tidak dapat menikmati bantuan kerajaan termasuk subsidi bersasar.

Ini terutama kepada 3 juta yang tidak mempunyai pekerjaan formal dan tidak terdapat rekod gaji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tidak ada tindakan. Ada soalan ‘bagaimana kalau saya pilih tak mahu kemas kini?’ Boleh.

“Kerajaan hanya akan menggunakan maklumat yang sudah sedia ada di dalam semua pangkalan data untuk menentukan profil isi rumah dan kelayakan dapat atau tidak subsidi bersasar.

“Kalau tak kemaskini ialah dia tak ada masalah. Tapi kalau tak dapat (subsidi bersasar) jangan marah,” kata Rafizi dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengguna diberikan tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac untuk mengemaskini maklumat.

Jelas beliau, terdapat 39 maklumat yang perlu disemak dan dikemaskini  dalam PADU antaranya jumlah pendapatan, bilangan isi rumah, pekerjaan, bantuan yang diterima dan komitmen tanggungan.

Menurut Rafizi, sebanyak 290 pangkalan data daripada pelbagai agensi adakan diselaraskan dalam PADU dan mengenalpasti sama ada maklumat yang diisi adalah tepat atau sebaliknya.

“Semua maklumat sebenarnya sudah ada pada kerajaan. Tapi kita hendak pastikan contohnya akan ada beberapa kes unik seperti alamat yang lain. Ia perlu kemaskini.

“Kedua oleh kerana data tidak ada dalam sistem kerajaan bagi sektor tidak formal jadi tak ada maklumat mengenai gaji. Kita ada lebih kurang 12 juta pekerja iaitu sebanyak 9 juta dalam sektor formal yang ada gaji dan KWSP tapi tiga juta lagi tak ada makluma ini.

“Ada juga yang tidak padan, contoh dari data kerajaan dia ada empat kereta mewah tetapi dia isytiharkan pendapatan RM500. Kita tahu terus ada sesuatu yang tidak kena. Ini algoritma ini akan tahu,” kata Rafizi.

Bagi 3,000 pertama yang mengemaskini maklumat PADU sebaik dilancarkan Selasa nanti akan mendapat kad Touch N GO NFC dan juga akan mendapat diskaun daripada pasar raya besar Mydin.

Sementara itu, Rafizi mengulangi jaminan orang ramai tidak perlu gusar mengenai keselamatan data PADU.

Katanya, akses kepada maklumat tidak dibuka secara umum kepada semua, melainkan hanya data yang memerlukan input kemaskini daripada pengguna sendiri. – MalaysiaGazette