Tiga jalan utama melibatkan Jalan Kampung Orang Asli Peta di Bukit Cantik, Mersing, Jalan Jabi-Bukit Tempurung; Segamat dan jalan Kota Tinggi-Kluang dilaporkan masih terjejas setelah dinaiki air banjir baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Tiga jalan utama di Jalan Kampung Orang Asli Peta di Bukit Cantik, Mersing, Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat dan Jalan Kota Tinggi-Kluang masih terjejas setelah dinaiki air banjir baru-baru ini.

Jabatan Kerja Raya Malaysia Negeri Johor berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, Jalan Kampung Orang Asli Peta berada dalam status terputus hubungan dan pemantauan sedang dilakukan dari semasa ke semasa di kawasan terbabit.

Manakala empat sungai merekodkan bacaan pada aras waspada.

Menurutnya, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat yang mencatatkan bacaan 7.93m dengan aras bahaya pada 9.14 meter (m), Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (3.37m, aras bahaya 4.00m), Sungai Siku di Kampung Murni Jaya, Kulai (17.56m, aras bahaya 18.10) dan Sungai Ayer Hitam di Kampung Mawai, Kota Tinggi merekodkan bacaan 3.08m dengan aras bahaya 6.00m.

Bagaimanapun Jabatan Meteorolgi Malaysia (Met-Malaysia) pula melaporkan tiada amaran hujan berterusan di seluruh negara namun amaran ribut petir dan hujan lebat diramalkan berlaku di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Sementara itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir masih beroperasi melibatkan PPS Dewan Komuniti Taman Tasek, PPS Balairaya Kampung Batu Badak dan PPS Balairaya Kampung Jabi di Segamat.

Setakat ini, dilaporkan seramai 63 mangsa banjir daripada 16 keluarga berada di ketiga-tiga PPS berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast