Datuk Mohd Nassuruddin Daud

KUALA LUMPUR – Pengumuman bantuan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Kelantan diyakini dapat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat negeri itu, sekali gus memperkukuhkan semangat federalisma antara kedua-dua kerajaan selari dengan budaya politik matang dan sejahtera.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas penyaluran kewangan berjumlah RM916.52 juta bagi projek banjir di negeri itu.

“Pertama, kelulusan peruntukan segera bagi membina benteng sementara bagi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersatu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.

“Kedua, proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta yang akan dimulakan pada tahun 2024,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas penyaluran Wang Ihsan bernilai RM177.96 juta kepada negeri berkenaan.

“Keseluruhan terimaan Wang Ihsan bagi tahun 2023 kepada Kelantan adalah RM216.96 juta,” ujarnya.

Nassuruddin berkata, pentadbirannya juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semasa turun ke Kelantan bagi meninjau situasi banjir dan melawat mangsa bencana itu di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kerajaan Negeri pula akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek tersebut, katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Kelantan dan meluangkan masa beberapa jam untuk meninjau situasi banjir buruk di negeri berkenaan.

Antara lokasi dilawati Perdana Menteri adalah Jambatan Lubok Jong, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang, Repek dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati. – MalaysiaGazette