Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung semakan pengkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, awal Disember ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan terbabit berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan kes setakat ini.

“Siasatan masih diteruskan oleh polis termasuk operasi pencarian bukti di Apartment Idaman, Damansara Damai Petaling Jaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu sebelum mayatnya ditemui di saliran air berdekatan takungan air yang terletak pada jarak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, kira-kira jam 10 malam pada 6 Disember lalu.

Polis kemudian menukar siasatan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil laporan autopsi mendedahkan penemuan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.

Menurut Hussein, sehingga Khamis lalu pihaknya telah merekodkan 225 rakaman percakapan dan mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut. – MalaysiaGazette