Gambar hiasan
PETALING JAYA – Sebanyak 30 peratus rombongan pelancongan dari China dilaporkan telah membatalkan rancangan melawat Malaysia kerana bimbang dengan keadaan COVID-19 di negara ini.

Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Mint Leong berkata, pengumuman oleh Kementerian Kesihatan mengenai COVID-19 telah disalah tafsir oleh media asing.

Katanya, Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan bahawa pesakit perlu melakukan kuarantin kendiri selama lima hari, tetapi keadaan itu disalah faham sehingga pelancong bimbang mereka akan dikuarantin semasa memasuki Malaysia.

“Keadaan ini memberi impak besar kepada kemasukan pelancong dari China dengan 30 peratus rombongan telah dibatalkan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurut Mint, pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk membetulkan keadaan.

Berhubung isu itu, King Sing berkata, pihak industri dan pelancong telah meluahkan rasa kebimbangan mengenai isu COVID-19.

Beliau berkata, negara lain juga berwaspada dengan jangkitan COVID-19, tetapi mereka tidak terlalu menghebohkan isu itu.

“Walaupun perlu meningkatkan kesedaran dan meningkatkan langkah pencegahan penyakit serta  memantau perkembangan jangkitan, tetapi kita tidak perlu mempunyai reaksi berlebihan sehingga mewujudkan ketakutan dalam pasaran dan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, walaupun Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab untuk memantau keadaan terkini, tetapi mereka juga perlu mempertimbangkan impak ekonomi dan pasaran.

Sementara itu,  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjangkakan jumlah kes jangkitan COVID-19 akan menurun pada Januari. – MalaysiaGazette