Senator Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023 untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Halal Development Corporation Berhad (HDC) berkata, kedudukan Malaysia diikuti rapat oleh Arab Saudi, Indonesia dan UAE.

Malaysia mendapat tempat pertama dalam sektor Kewangan Islam, Makanan Halal, dan Media & Rekreasi Halal disokong dengan kedudukan tempat kedua dalam Modest Fesyen, tempat ketiga dalam Farmaseutikal dan kelima dalam Pelancongan.

Menurut Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun, sejak penubuhan Laporan SGIE, Malaysia secara konsisten menduduki tempat teratas mempamerkan komitmen berterusan negara terhadap ekonomi Islam.

“Malaysia berikrar untuk mempertahankan kedudukan unggul ini dengan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP2030), adaptasi teknologi dan Pendigitalan Ekosistem Halal.

“HIMP2030 memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan komprehensif industri halal Malaysia, memupuk keterangkuman dan pertumbuhan yang teguh,” tambahnya.

Kejayaan itu dicapai disebalik landskap global yang mencabar dengan konflik Palestin-Israel dan konflik yang berterusan di Ukraine, krisis iklim dunia yang semakin meruncing serta impak transformatif revolusi digital kepintaran buatan (AI).

GIEI 2023 dikeluarkan dalam Laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) disediakan oleh Dinar Standards sebuah firma penyelidikan dan penasihat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mengkhusus dalam inovasi kerajaan, ekonomi halal global dan ruang impak sosial.

Laporan tahunan terssebut disokong oleh Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai (DET), menekankan pembangunan dan promosi pensijilan dan piawaian Halal Malaysia.

Kedudukan global ini adalah berdasarkan penyelidikan yang meluas, meliputi isu kontemporari dan kritikal seperti pembangunan kewangan, tadbir urus, kesedaran, sosial dan inovasi dalam ekosistem.

Sejak laporan itu dimulakan pada 2013, ekonomi utama dan negara majoriti Islam secara konsisten merujuk kepada laporan tahunan ini.

Khairul Azwan berkata, melangkah ke hadapan, Malaysia akan terus memimpin industri ini secara berterusan, didorong oleh pertumbuhan tahun ke tahun dalam Makanan Halal dan disokong oleh peningkatan permintaan di seluruh dunia untuk produk yang mematuhi piawaian halal.

Malaysia, dengan 84 badan pensijilan yang diiktiraf setakat ini, berada pada kedudukan yang baik untuk mematuhi dan mendokong, terutamanya dalam sektor bahan halal seperti gelatin halal.

HDC, sebagai penggerak utama inisiatif diplomasi halal sedang dalam misi untuk mengintegrasikan pihak yang berminat ke dalam ekosistem halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast