Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap suasana global akan bertambah baik tahun depan walaupun konflik Rusia-Ukraine dan Palestin-Israel masih belum reda.

Menurut beliau, ramai pihak yang melahirkan kesangsian kerana pergolakan di Ukraine yang tidak berkesudahan.

“Pendirian kita adalah menganjurkan rundingan damai antara Rusia dan Ukraine,” katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2024 menerusi rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook rasminya, malam ini.

Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada Februari 2014 masih berterusan sehingga kini dan menyebabkan berlaku krisis rantaian bekalan makanan terutamanya gandum di seluruh dunia.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 menjadi mangsa konflik tersebut apabila ia ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK Rusia ketika ia terbang melintasi timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, ketegasan Malaysia dalam membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza diterima di peringkat antarabangsa.

Beliau menambah, yang terbaharu, kerajaan telah melarang kapal dagang Zim dari Israel untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

“Kita juga mengecam tindakan ganas zalim rejim Zionis yang terus menyerang mengetepikan seluruh suara dunia kerana dukungan dan kepura-puraan dan hipokrasi beberapa negara Barat,” jelasnya.

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 22 September lalu, Anwar menggesa masyarakat antarabangsa agar terus lantang membantah penjarahan dan penempatan haram rejim Zionis di wilayah Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast