Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangannya tentang kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi baru-baru ini telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, ada yang mengupas pandangan tersebut sehingga melibatkan cacian dan cemuhan kepada sesetengah pihak termasuk pendakwah dan ulama.

Anwar berpandangan, perkara itu adalah keterlaluan dan tidak sepatutnya terjadi.

“Sayugia, budaya wacana yang baik harus dijulang, bukannya diangkat cerca kritikan melampau, khasnya melibatkan konteks ayat al-Quran yang kini semakin meluas dibahas di media sosial.

“Moga mutu kefahaman tentang Islam terus dipertingkat, insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial seorang penceramah bebas mengupas ucapan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, kira-kira dua minggu lalu.

Perdana Menteri menambah, beliau mengaitkan kisah tersebut seperti dalam surah al-Kahfi di mana pada masa itu, sistem dan kerajaan serta raja yang zalim berkenaan menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda terbabit yang kemudian berlindung di dalam sebuah gua.

“Mesejnya adalah keteguhan dan kekentalan iman pemuda itu yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan, justeru adalah wajar agar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut,” jelasnya.

Anwar menjelaskan, ucapannya pada majlis tersebut menekankan kepada penjawat awam tentang kepentingan nilai dan akhlak dalam menjalankan tugas, amanah serta tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sejauh mana kesibukan kita, kepesatan pembangunan sementalahan teknologi dunia berputar, iman kita harus diangkat selain dijaga nilai mahu pun akhlak,” katanya.

Sementara itu, dalam rakaman video yang dikongsi melalui hantaran tersebut, beliau meminta semua pihak agar menghentikan perbuatan kutuk-mengutuk termasuk kepada pendakwah bebas berkenaan.

“Jangan kutuk sesiapa. Ulas dengan baik dan berhak tidak bersetuju tetapi tidak boleh mengatakan ini menyesatkan,” jelasnya.

Anwar juga menyifatkan perbahasan mengenai ayat al-Quran yang tercetus susulan isu tersebut dalam media sosial sebagai sesuatu yang positif.

“Jarang sekali ayat-ayat al-Quran dibahas begitu meluas dalam media sosial. Ini perkembangan yang baik asalkan kita jaga adab,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast