KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin mengucapkan terima kasih kepada yang mengambil berat tentang kes pembunuhan dan mengasihi kanak-kanak Autisme berkenaan.
Ismanira Abdul Manaf, 28 turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menzoarahi pusaran anak sulungnya itu di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Seksyen 9.
“Assalamualaikum Abang Zayn, indahnya rumah baru abang, seindah tuannya. Ramai yang bertanya pada saya, ramai yang minta izin nak datang ziarah pusara Zayn, boleh, saya izinkan, asalkan tidak buat perkara yang tidak sepatutnya, saya okay saja, terima kasih banyak-banyak pada semua ya sebab selalu ambil berat dan peduli tentang Zayn, dari awal Zayn hilang sampai sekarang masih lagi setia ambil peduli tentang Zayn, syukur Alhamdulillah,” tulisnya di akaun Instagram beliau.
Lebih kurang 25 hari pemergiannya kanak-kanak berkenaan, beliau sering kali dilihat meluah rasa menerusi platform media sosial berkenaan.
Ramai juga yang menitipkan kata-kata sokongan terhadap wanita berkenaan di ruangan komen.
Sementara itu Ismanira memaklumkan pusara anaknya sehingga kini masih tiada batu nisan kerana proses menyiapkan tempahan mengambil masa.
“Ada juga yang bertanya, kenapa kubur Zayn tiada nama, tiada batu nisan lagi, ada, kita dah tempah awal-awal haritu, selepas beberapa hari Zayn dikebumikan kita dah siap tempah, cuma ambil masa sikit untuk siap dan pasang.. Nombor kubur 6608,” katanya lagi.
Sebagai rekod 6 Disember lalu, kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.
Terdahulu, Zayn dilaporkan hilang oleh ibunya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan kematiannya diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak itu. – MalaysiaGazette