portfolio aminuddin harun
Aminuddin Harun

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang acara khusus bagi sambutan Ambang Tahun Baharu 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia adalah selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi.

Menurut beliau, suasana ketika ini menuntut semua pihak sentiasa cakna terhadap situasi semasa negara dan dunia.

“Ketiadaan program tersebut bukanlah bersifat menyekat sebarang aktiviti sambutan tahun baharu tetapi kerajaan negeri mahukan penglibatan rakyat negeri ini untuk bersama-sama bersolidariti terhadap nasib umat Islam di Gaza dan mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

“Walau bagaimanapun, program-program yang telah dirancang sempena akhir tahun ini boleh dijalankan oleh pihak penganjur (bukan kerajaan negeri) dengan menjaga sensitiviti semasa dan memenuhi tata susila yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Aminuddin memberitahu, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa peka dan sensitif terhadap penularan wabak COVID-19.

Beliau menambah, walaupun tiada kes COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) dicatatkan di negeri ini, rakyat diminta sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati apabila berada di tempat sesak.

Aminuddin juga meminta orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga ekoran situasi cuaca yang tidak menentu di beberapa tempat di negeri ini yang boleh mengakibatkan banjir atau banjir kilat.

“Sekiranya terdapat amaran berkenaan banjir di kawasan anda, sila patuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan rakyat dapat diutamakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast