KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap Amerika Syarikat (AS) yang bersekongkol dengan Israel melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, meskipun tidak dapat dinafikan Malaysia perlu menjalinkan hubungan baik dengan negara berkenaan demi perdagangan namun ada cara lain untuk menyatakan secara jelas dan tegas pendirian negara ini terhadap kekejaman yang dilakukan.
“Saya harap kerajaan kita akan ambil tindakan yang lebih tegas terhadap AS. Ya memang kita perlu ada hubungan dengan mereka kerana dagangan tetapi ada cara lain untuk menunjukkan betapa kita menolak sikap AS dalam pembunuhan orang Palestin,” katanya ketika berucap di Himpunan Kepung Demi Palestin.
Dr Mahathir berkata, kekejaman Israel dilihat lebih buruk daripada Nazi dan hampir seperti binatang yang membunuh ketika lapar.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya masyarakat pelbagai kaum dalam negara konsisten melakukan boikot terhadap mana-mana produk keluaran Israel dan sekutunya.
“Saya harap kita akan terus bertindak memboikot segala keluaran Israel dan orang-orang zionis.
“Kalau Israel percaya dengan membunuh semua Palestin mereka akan selamat ini tidak akan terjadi, akhirnya orang Israel terdedah kepada tindakan balas orang Palestina di mana-mana sahaja mereka berada. Di masa yang sama kita tidak boleh lupa bahawa sikap Israel ada sebab didokong oleh AS,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau yakin perpaduan mesyarakat negara tanpa mengira perbezaan ideolisme, politik dan kaum akan memberi kesan terhadap penentangan Israel dan AS.
“Saya percaya perpaduan kita di Malaysia menentang Israel, AS akan berterusan walaupun kita berpecah kerana parti tapi dalam isu ini kita bersatu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Laaaaa tak payah nak sembang laaa..masa ko jd PM..rakyat desak utk ko ambil tindakan lebih tegas kpd China dlm isu minoriti Islam Uygur..ko kata kata apa? Ko kata apa kita boleh buat? China kuasa besar …ko dah lupa kaaa??