GEORGE TOWN – “Projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar mengikut prosedur operasi standard (SOP) bukan dilakukan secara tergesa-gesa”.
Demikian tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas dakwaan kerajaan negeri seolah-olah tergesa-gesa dalam meluluskan projek tersebut susulan bantahan mengenainya dibuat penduduk serta wakil rakyat kawasan berkenaan sebelum kelulusan diberikan.
Menurut Kon Yeow cadangan projek pembinaan asrama pekerja asing itu hanya boleh diteruskan sekiranya ia memenuhi syarat dan peraturan yang digariskan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Jelas beliau. Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir A. Rajendran akan mengadakan pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir untuk memperincikan butiran berhubung cadangan projek tersebut.
“Mana boleh tergesa-gesa. Kita ada prosedur operasi standard (SOP). Pada peringkat ini, masih proses menunaikan syarat-syarat (pemajuan).
“Kalau boleh tunaikan maka ia berjalan (teruskan pembinaan) namun sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dapat dipatuhi, maka borang kelulusan muktamad tidak boleh dikeluarkan,” katanya sambil menambah projek tersebut pada ketika ini telah mendapat kelulusan teknikal Penilaian Impak Sosial (SIA).
Terdahulu Kon Yeow merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Kon Yeow memaklumkan mulai Januari ini Taman Bandaraya bakal dilengkapi dengan trek kereta kawalan jauh dengan anggaran kos berjumlah RM80,000.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan menolak cadangan pembinaan asrama pekerja asing di lokasi terbabit jika ia terus dibantah penduduk, Kon Yeow berkata projek itu masih berada dalam peringkat pertimbangan dan perundingan.
“Semua kelulusan atau permohonan adalah melalui proses perundangan yang ditetapkan oleh akta. Maka segala keputusan juga perlu berpandukan kepada akta,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz menyifatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak tergesa-gesa dalam memberi kelulusan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar tanpa memikirkan impak kepada penduduk tempatan.
Azrul Mahathir yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) turut meluahkan rasa kesal susulan kerajaan negeri didakwa seolah-olah tidak mendengar pandangan beliau selaku wakil rakyat di kawasan tersebut meskipun bantahan telah diutarakan melalui surat rasmi, bersemuka serta menerusi sidang DUN. – MalaysiaGazette
Mmg la ikut sop tp.tu proses kelulusan pembinaan. Mana ada proses kelulusan dr segi sosio impact. Alam sekitar ada la EIA nya. Cer buat SIA pulak sbg syarat utama kelulusan, sah sah la fail.