BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang dikehendaki serta mempunyai 16 rekod lampau maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Sungai Lembu di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah malam itu, sepasukan polis daripada Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak sebuah Kenderaan Sukan Utiliti (SUV) jenis Proton X70 dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semakan mendapati SUV yang dinaiki suspek berusia 44 tahun itu menggunakan nombor pendaftaran palsu selain digunakan dalam dua kes samun di Butterworth baru-baru ini.

Kok Chin.

Jelas beliau, susulan itu pasukan D9 berkenaan telah memperkenalkan diri sebelum meminta suspek memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan namun suspek bertindak melarikan diri selain melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

“Bagi mempertahankan diri pasukan D9 tersebut telah melepaskan tembakan dan suspek memecut laju kenderaannya sejauh 200 meter sebelum terbabas di Jalan Sungai Lembu di sini berhampiran jirat Cina.

“Suspek kemudian keluar dari SUV tersebut sebelum bertindak mengacukan pistol ke arah pasukan D9 terbabit dan bagi mempertahankan diri pihak polis telah melepaskan beberapa tembakan ke arah suspek sebelum menemuinya mati berhampiran kenderaan berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Suspek melepaskan tembakan ke arah pasukan D9 IPK Pulau Pinang ketika meminta dia memberhentikan kenderaannya.

Turut dirampas pistol semi auto yang digunakan suspek dalam kejadian berbalas tembakan tersebut.

Tambah Kok Chin, siasatan mendapati suspek terlibat dan dikehendaki dalam dua kes samun membabitkan premis nombor ekor dan kedai runcit di Butterworth.

“Suspek juga giat melakukan jenayah samun bersenjata itu secara solo dan modus operandinya menakutkan mangsa menggunakan pistol.

Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Selain itu, siasatan lanjut mendapati suspek yang berasal dari negeri ini mempunyai 16 rekod lampau membabitkan kes samun, dadah, Akta Senjata dan Bahan Kakisan selain kerap keluar masuk Simpang Renggam.

“Berdasarkan 16 rekod lampau itu, suspek didapati aktif melakukan jenayah di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Melaka,” jelas beliau.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, semakan secara keseluruhan menunjukkan suspek merupakan penjenayah berbahaya yang memiliki pistol semi auto.

Mayat suspek dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

“Selain itu, kita juga akan membuat semakan sama ada suspek melakukan jenayah di negeri bersempadan dengan Pulau Pinang iaitu Kedah dan Perak berdasarkan modus operandinya,” katanya. – MalaysiaGazette