KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berharap agar tahun 2024 ini akan menghadirkan lebih banyak kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan sekalian rakyat, dari segenap aspek khususnya ekonomi.
Baginda berdua mahu agar semua pihak tidak mengira fahaman politik, sama-sama menggembleng tenaga dan memberi fokus kepada usaha-usaha demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.
Baginda juga berharap supaya sekalian rakyat menyambut tahun baharu ini dengan resolusi dan azam yang memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada negara, ke arah memperteguh keamanan dan kemakmuran.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri bertitah demikian ketika menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2024 kepada rakyat Negeri Selangor khususnya, dan seluruh rakyat Malaysia amnya.
“Semoga tahun 2024 akan menjadi tahun yang lebih baik buat semua rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia,” titah baginda berdua menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office. – MalaysiaGazette