Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tengah) menunjukkan laporan polis yang mengaitkan dirinya menjadi sebahagian dalam gerakan Langkah Dubai di Balai Polis Kuala Lipis hari ini.

KUANTAN – Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menepis dakwaan mengatakan beliau merupakan salah orang yang terbabit dalam gerakan Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, fitnah yang dilemparkan oleh pengguna Youtube dikenali Halim Romli Channel yang menyebut dirinya terlibat itu sekadar bermotifkan untuk menimbulkan polemik selain sengaja ingin mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

”Hantaran tersebut mengatakan bahawa saya adalah salah seorang yang terlibat dalam percubaan tersebut. Saya sifatkan tindakan ini adalah bermotifkan tuduhan jahat yang sengaja diada-adakan.

“Sedangkan dalam tempoh beberapa minggu ini saya yang juga Ahli Parlimen Lipis berada di Malaysia khususnya di kawasan di Lipis memenuhi program dan menyantuni masyarakat.

“Walaupun di penghujung tahun, saya tetap bersedia memberi khidmat kepada masyarakat dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga- jaga di kawasan kerana bimbang berlakunya banjir di parlimen Lipis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis tengah hari tadi yang dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ketua kampung, ketua cawangan dan AJK Bahagian UMNO Lipis.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ketua kampung, ketua cawangan dan AJK Bahagian UMNO Lipis hadir memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad di perkarangan IPD Lipis hari ini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, tohmahan  terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) ini tidak seharusnya berlaku di saat kerajaan kini mempunyai dua pertiga majoriti dan merupakan sebuah kerajaan kuat dan stabil.

Malahan tuduhan seperti itu sangat berbahaya kerana situasi tersebut boleh menggugat kestabilan ekonomi dan memberi kesan kepada pelaburan asing sekali gus akan menjejaskan peluang perkerjaan khusus untuk orang muda.

“Saya telah membuat laporan polis berkenaan dengan satu video yang tular menerusi akaun youtube Halim Romli Channel mengenai dakwaan sekumpulan ahli Parlimen berada di Dubai sebagai percubaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan demi membersihkan nama saya, tindakan undang-undang yang berat akan diambil kepada Halim Romli Channel yang telah menggunakan media sosial sebagai medium hasutan,” katanya. – MalaysiaGazette