Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malaysia sepatutnya menjadikan tahun 2024 sebagai tahun ‘bermulanya’ peralihan ekonomi jangka sederhana hingga panjang yang digariskan dalam pelan tindakan, pelan induk, pelan hala tuju dan perundangan pada tahun lepas, dengan pertumbuhan ekonomi dijangka lebih kukuh pada 4.4 peratus tahun ini, kata Maybank Investment Bank.

Ia berkata, ini termasuk Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12), Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR), Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) serta Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA).

Mengenai pertumbuhan ekonomi negara, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, momentum pelaburan swasta dan infrastruktur yang mampan, ditambah dengan pemulihan dalam perkhidmatan berkaitan perdagangan dan industri pembuatan, serta pelancongan dan elektronik.

“Reformasi fiskal dan penstrukturan semula ekonomi akan menjadi agenda utama. Elemen penting reformasi fiskal pada 2024 ialah rasionalisasi subsidi bahan api yang disasarkan manakala perkara utama di bawah penstrukturan semula ekonomi ialah Dasar Gaji Progresif untuk menangani kos sara hidup, kecukupan simpanan persaraan dan isu kesaksamaan,” katanya dalam nota kajian hari ini.

Ia juga berkata, rombakan Kabinet baru-baru ini, pilihan raya umum akan datang dalam tempoh empat tahun lagi, kadar inflasi bulanan di bawah dua peratus pada masa ini, dan sasaran penyatuan fiskal yang digubal oleh FRA adalah berupa ‘hukuman dan ganjaran’ untuk dilaksanakan dan dijalankan.​

“Butiran tepat mengenai masa dan pelaksana rasionalisasi subsidi bahan api yang disasarkan masih belum selesai, tetapi kita perlu melihat penguatkuasaan yang ketat untuk menangani kebocoran subsidi diesel yang serius, pelancaran Hab Pangkalan Data Pusat untuk `mengenal pasti siapa layak’ menikmati subsidi RON95 yang disasarkan dan pelarasan harga bahan api secara beransur-ansur bagi mengurangkan kesan terhadap inflasi,” katanya.

Firma berkenaan menjangkakan sedikit peningkatan inflasi pada 2024 di tengah-tengah pelarasan beransur-ansur dalam langkah rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan kesan terhadap inflasi, dengan inflasi meningkat semula kepada 3.0 peratus pada 2024 berbanding 2.6 peratus tahun lepas.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada 2024 walaupun terdapat unjuran pemotongan kadar faedah di negara-negara ekonomi maju utama dan rakan serantau, yang mana ia dijangka positif untuk ringgit berbanding dolar AS,” katanya.

Maybank Investment Bank turut mengunjurkan mata wang tempatan meningkat ke paras 4.40 menjelang akhir 2024.

“Bagi ekuiti, pengetatan dasar monetari global telah berada di penghujungnya, manakala tinjauan dasar kadar faedah domestik yang stabil, transformasi ekonomi melalui NETR dan NIMP2023, serta peningkatan momentum pelaburan langsung asing (FDI) adalah elemen yang menjadi pemangkin utama,” katanya. ​​

Ia juga mengharapkan pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih baik pada 2024, sambil mengekalkan sasaran FBM KLCI 2024 sebanyak 1,610.

“Bagi strategi pelaburan, kami mengesyorkan portfolio sektor berkaitan perdagangan dan domestik terpilih, yang seimbang dengan hasil dan saham-saham alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.​

Di peringkat global, ia menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar global akan perlahan pada 2.8 peratus tahun ini apabila ekonomi AS tumbuh dengan perlahan berdasarkan faktor-faktor seperti lebihan simpanan isi rumah dan pasaran pekerjaan berdaya tahan yang menyokong perbelanjaan pengguna, dasar penawaran atau perindustrian yang mengangkat pelaburan dalam pembuatan AS dan dasar fiskal yang mengembang yang menafikan Rizab Persekutuan untuk menaikkan kadar faedah.

Sementara itu, risiko-risiko utama seperti kadar faedah AS yang ‘lebih tinggi untuk lebih lama’, persaingan geopolitik AS-China yang meluas, perang Rusia-Ukraine yang meningkat dan ketidakstabilan di Timur Tengah akibat perang Hamas-Israel dan juga krisis sektor hartanah China yang memuncak akan memburukkan sentimen pasaran modal atau kewangan, tambahnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast