KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kali, dunia akan menyaksikan tindakan genosid terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel di Gaza melalui siaran televisyen.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jumlah mangsa yang terbunuh semakin meningkat akibat pencerobohan Israel di Gaza.
Menurut beliau, kem-kem pelarian dan zon selamat kini turut dibom oleh tentera rejim Zionis Israel.
“Seramai 1.6 juta penduduk Gaza perlu dibunuh. Ia adalah tugas yang besar namun bukan di luar kemampuan Israel.
“Jika Nazi dapat membunuh enam juta orang Yahudi, sudah tentu Israel dapat melakukan lebih baik daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setakat ini, lebih 30,000 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh akibat serangan keganasan yang dilancarkan oleh rejim Zionis Israel sejak Oktober lalu.
Dr Mahathir menambah, negara-negara Barat telah mewujudkan ‘raksasa’ melalui sokongan mereka terhadap tindakan rejim Zionis Israel membunuh rakyat Palestin secara beramai-ramai.
“Kini ‘raksasa’ itu mesti disokong oleh mereka. Ia adalah betul dari segi logik dan moral,” jelasnya secara sinis. – MalaysiaGazette