Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-49 perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) mendakwa Datuk Seri Najib Razak telah menerima wang sebanyak AS$681 juta bagi tujuan membeli undi untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013 lalu.

Saksi itu, Nur Aida Arifin merupakan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan merupakan salah seorang pegawai penyiasat yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Dalam prosiding yang mula bersambung hari ini, Nur Aida memaklumkan mahkamah, wang itu telah diterima Najib daripada syarikat pelaburan, Tanore Finance Corporation melalui Falcon Private Bank Singapore.

Untuk makluman, Tanore Finance adalah syarikat yang dikawal oleh sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mahkamah dimaklumkan sebelum ini syarikat itu memindahkan AS$681 juta ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib.

Nur Aida merujuk kepada Borang Aduan yang dibuat bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang dibuat pada 4 Mei 2015.

“Kita ada maklumat bahawa pada tahun 2013, akaun Najib yang menerima wang berkenaan ialah akaun di Amprivate Banking, AmBank Berhad bernombor 2112022009694.

“Satu lagi maklumat diterima menunjukkan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan menerima suapan melalui 1MDB berjumlah RM3.217 billion yang dimasukkan ke dalam akaun sama antara 2011 dan 2013 untuk kepentingan peribadi.

“Fokus siasatan ialah di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu berkenaan dengan kemasukan wang dalam jumlah yang sangat besar ke dua akaun peribadinya berakhir nombor 694 dan 880,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Prosiding sedang bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette