KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan permohonan oleh Afrika Selatan yang memulakan prosiding terhadap Israel di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung jenayah terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Menurut Wisma Putra, tindakan Afrika Selatan mempertanggungjawabkan Israel berhubung pencabulan oleh Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genocide (Konvensyen Genocide) adalah tepat.
“Permohonan oleh Afrika Selatan juga termasuk permintaan supaya mahkamah menunjukkan langkah sementara atau jangka pendek yang memerintahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza untuk melindungi daripada bahaya selanjutnya terhadap hak rakyat Palestin di bawah Konvensyen Genosid, dan untuk memastikan pematuhan Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen.
“Tindakan undang-undang terhadap Israel di ICJ adalah langkah yang tepat pada masanya dan nyata ke arah pertanggungjawaban undang-undang terhadap kekejaman Israel di Gaza dan Wilayah Pendudukan Palestin (OPT) secara amnya,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai rakan negara dalam Konvensyen Genosid, Malaysia menyeru Israel untuk memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan segera menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Malaysia mengulangi gesaan untuk penyelesaian jangka panjang dengan memberikan rakyat Palestin Negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Afrika Selatan memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel pada 29 Disember lalu atas tuduhan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Gaza.
Menurut kenyataan, permohonan ICJ itu merujuk dakwaan bahawa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid dan Israel terbabit serta berisiko akan melakukan lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Afrika Selatan juga mendakwa Israel bertindak ‘dengan niat khusus… mahu memusnahkan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada penduduk etnik, kumpulan kaum dan penduduk wilayah berkenaan.
Sehingga kini Israel dilaporkan telah membunuh lebih 22,000 rakyat Palestin termasuk bayi dan kanak di Gaza serta mencederakan hampir 60,000 yang lain. – MalaysiaGazette