GAZA CITY – Hasrat Israel untuk melantik bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair untuk menjadi pengantara dengan negara-negara Barat dan Arab untuk menerima pelarian dari Gaza menimbulkan kemarahan pemimpin Palestin.
Ketua misi Palestin ke UK Husam Zomlot berkata, peranan yang dimainkan oleh Blair merupakan satu tindakan pengusiran besar-besaran dan pembersihan etnik rakyat Palestin dari tanah air bertopengkan ‘penghijrahan sukarela’.
“Kami menyeru Kerajaan UK untuk memastikan bahawa tiada seorang pun tokoh British akan mengambil bahagian dalam jenayah kemanusiaan Israel yang berterusan di Gaza.
“Kami bertegas sesiapa yang melakukannya perlu menanggung akibat undang-undang daripada tindakan tidak bermoral dan jenayah itu terhadap rakyat Palestin,” katanya di X.
Sebelum ini Saluran 12 Israel melaporkan Blair membuat lawatan rahsia ke Israel minggu lalu, mengadakan pertemuan sulit dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan anggota Kabinet perang Benny Gantz untuk membincangkan peranan tersebut.
Laporan itu mengatakan, jika rancangan tersebut menjadi kenyataan, Blair akan bertanggungjawab menyemak pilihan negara yang menerima pelarian Gaza.
Perkembangan terkini itu berlaku ketika Kerajaan Israel masih belum membincangkan nasib Gaza selepas perang yang berterusan.
Ini kerana perbincangan yang dirancang telah ditangguhkan oleh Netanyahu kerana bimbang mencetuskan krisis dengan rakan sekutu.
.
Parti-parti gabungan sayap kanan mendesak penempatan pendatang Yahudi di Gaza dan menggalakkan rakyat Palestin meninggalkan wilayah tersebut.
Kumpulan itu dengan tegas menolak sebarang rancangan pasca perang yang merangkumi peranan mentadbir bagi Pihak Berkuasa Palestin di Gaza.
Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich sebelum ini turut “menggalakkan penghijrahan secara sukarela rakyat Palestin” dari Gaza.
Sekurang-kurangnya 21,822 rakyat Palestin telah terbunuh dan 56,451 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas.
Serangan Israel telah menyebabkan Gaza hancur, dengan 60% infrastruktur rosak atau musnah dan hampir 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.-Agensi