fauziah abdul hamid
Maklumat wanita yang dicari polis bagi membantu siasatan kes penipuan urusan katering di Jempol, baru-baru ini. - Gambar: Facebook IPD Jempol

JEMPOL – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dalam urusan katering baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, wanita berusia 39 tahun itu bernama Fauziah Abdul Hamid.

Menurut beliau, alamat terakhirnya adalah di Taman Alam Budiman, Shah Alam, Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan penama tersebut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 017-6219957 atau 06-4582222 sambungan 102,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Chang Hook berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai kisah keluarga pengantin perempuan di sini terpaksa memasak sendiri makanan untuk tetamu selepas pihak yang menguruskan katering katering tidak muncul.

Pengantin perempuan juga telah membayar RM13,200 kepada pihak terbabit bagi menyediakan hidangan untuk 1,000 tetamu selain pelamin dan busana pengantin. – MalaysiaGazette